Automatif & TeknologiBerita Semasa

U Mobile dipilih sebagai penyedia rangakaian 5G kedua

CYBERJAYA – Syarikat telekomunikasi, U Mobile Sdn Bhd dipilih sebagai penyedia rangakaian 5G kedua.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemilihan itu dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

“Ini termasuk sumbangan memberangsangkan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, pihaknya komited untuk memastikan rangkaian 5G kedua di Malaysia memenuhi standard tertinggi dari segi kualiti, kebolehpercayaan, dan aksesibiliti.

Untuk mencapai matlamat itu katanya, satu proses pemilihan yang ketat telah dijalankan dengan kriteria penilaian yang menekankan keupayaan penyedia untuk menawarkan perkhidmatan 5G yang pelbagai dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada harga berpatutan.

“Melalui pemilihan ini, tanggungjawab pengawalseliaan terhadap U Mobile boleh
dikuatkuasakan mengikut pematuhan yang telah ditetapkan.

“Jika terdapat ketidakpatuhan,
penalti akan dikenakan. U Mobile Sdn Bhd, sebagai penyedia rangkaian 5G kedua, dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem yang lain tertakluk kepada kelulusan MCMC,” katanya.

Sementara itu, MCMC berkata, pihaknya akan sentiasa menilai kerjasama tersebut untuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai pegangan saham asing semasa yang dimiliki oleh U Mobile Sdn Bhd, katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemegang lesen untuk memaklumkan MCMC akan sebarang perubahan pegangan saham asing syarikat.

“Dengan penubuhan rangkaian 5G kedua ini, MCMC membuka jalan untuk fleksibiliti dan
keterangkuman perkhidmatan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.

“Perkembangan ini menggalakkan persaingan dan mengukuhkan ketahanan industri serta membolehkan rakyat Malaysia menikmati sambungan berkelajuan tinggi pada harga yang berpatutan.

“MCMC akan terus memantau standard kualiti dalam kalangan semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan landskap telekomunikasi yang kukuh dan boleh dipercayai untuk masa depan negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button