Berita Semasa

Pegawai, anggota ATM baharu tetap nikmati skim pencen – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan bahawa pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu akan terus menikmati skim persaraan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, skim persaraan itu akan dinikmati warga ATM, walaupun skim baharu pencen perkhidmatan awam, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bakal diperkenalkan selepas ini.

“Seperti diumumkan, bermula tahun depan apabila kakitangan baharu diambil tidak lagi ada pencen, tetapi ia tidak terpakai kepada warga ATM.

“Ini adalah kelebihan mereka yang berkhidmat dalam angkatan tentera. Bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan, apabila mereka bersara kelak, mereka tidak ada jabatan untuk jaga mereka tetapi untuk angkatan tentera, ada Jabatan Veteran untuk menjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau pads Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 yang meliputi Zon Tengah di Wisma Pertahanan, semalam.

Seramai 113 pelajar diraikan dalam majlis tersebut yang merupakan satu manifestasi penghargaan khas serta galakan buat anak-anak warga ATM yang telah memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.

Pada masa yang sama, Mohamed Khaled berkata, MINDEF sentiasa komited dalam menambah baik ekosistem kesejahteraan badan pertahanan dengan mengambil kira pengorbanan dan jasa mereka dalam mempertahankan negara.

Katanya, ia termasuk dalam aspek membantu pendidikan anak-anak mereka seperti menyediakan program tuisyen dalam talian secara percuma hasil kerjasama dengan tenaga pengajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya juga sedang mengusahakan supaya semua calon SPM dalam kalangan anak-anak ATM dibekalkan dengan sebuah unit `chromebook’ secara percuma.

“Selain itu, bagi memastikan program tuisyen percuma dan pembelajaran dalam talian menggunakan chromebook ini berjalan lancar, Kementerian Pertahanan juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Komunikasi,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button