Berita Semasa

Program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 semarakkan minat membaca menerusi sastera dan budaya

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 bertujuan untuk menyemarak dan membugarkan budaya membaca menerusi wahana sastera dan budaya.

Bertemakan “Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni”, genre puisi dipilih kerana ia merupakan wadah bagi pembentukan identiti, budaya dan jati diri sesuatu bangsa.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang brkata, pelaksanaan program ini juga suatu platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Perpustakaan Negara Malaysia akan menganjurkan program sebegini secara berterusan seperti Festival Puisi Rakyat pada masa akan datang dengan mengundang penyair dari pelbagai etnik dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi.

“Saya juga menyeru supaya rakyat Malaysia terus menjadikan bahasa dan sastera sebagai jambatan perpaduan serta sebagai wadah yang menghubungkan jiwa-jiwa kita sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni,” katanya.

Aaron berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program tersebut, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Salasiah Abdul Wahab, dan Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari.

Pelbagai pengisian diadakan bagi menyemarakkan program Sanggar Puisi pada tahun ini seperti Sayembara Novel Perpaduan, Pertandingan Penulisan Sajak, Syair dan Pantun Perpaduan, Sesi Bimbingan Teknik Penulisan dan Penyampaian Puisi Perpaduan, Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan dan Pameran Puisi Perpaduan telah dilaksanakan mulai 15 Mei hingga 5 November 2024 dengan disertai oleh seramai 1,340 orang.

Show More

Related Articles

Back to top button