Berita Semasa

KKM tidak temukan unsur buli, kerja lebih dalam kes kematian doktor di HSJ

GEORGETOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menemukan sebarang unsur buli atau kerja berlebihan dalam kes kematian seorang doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, siasatan awal KKM mendapati, terdapat 30 pengamal perubatan yang bekerja ketika doktor itu bertugas, berbanding maksimum 25 doktor pada satu-satu masa.

“Namun begitu, kami sedang menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut, malah kita bukan sahaja melihat (kes buli) di Pulau Pinang, tetapi juga pada peringkat nasional, kita sedang menangani semua kes buli (yang ada),” katanya.

Lukanisman berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (Bebas) yang dijalankan serentak dengan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 Peringkat Pulau Pinang di Medan Renong dan Jalan Penang, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, KKM sedang menyiasat satu kes kematian membabitkan seorang doktor di sebuah hospital di Seberang Jaya yang berlaku Jun lalu, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan perbuatan buli serta beban kerja melampau.

Mengulas lanjut, Lukanisman menegaskan, KKM tidak akan berkompromi dengan sebarang kejadian buli yang berlaku di mana-mana fasiliti kementerian di seluruh negara, termasuk insiden kematian pakar perubatan patologi hospital di Lahad Datu, Sabah di kediamannya pada 29 Ogos, yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

Show More

Related Articles

Back to top button