Berita SemasaDalam Negeri

TFST berjaya pulihkan 371 projek perumahan sakit, 46,139 unit terlibat

PUTRAJAYA – Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan sebanyak 371 projek melibatkan 46,139 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM44.59 bilion dari Januari hingga penghujung September lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah berkata, daripada jumlah projek yang dipulihkan, 348 daripadanya telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Selain itu, 17 projek berstatus lewat kini kembali berjalan lancar, manakala enam projek terbengkalai telah berjaya diselesaikan melalui kaedah penyiapan projek sehingga mendapat CCC dan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO).

“Sebanyak 25 projek melibatkan 4,813 unit rumah berjaya dipulihkan dari awal hingga penghujung September lalu, dengan nilai GDV RM18.08 bilion,” katanya dalam sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hari ini.

Salah satu kejayaan utama TFST pada bulan September ialah pemulihan projek perumahan Taman Sri Embun 1 di Kuala Terengganu yang telah memperoleh CCC, sekali gus dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai.

Sehingga September 2024, TFST telah mengenal pasti dan memantau 303 projek lewat, 379 projek sakit, dan 113 projek terbengkalai.

Terdapat sedikit penurunan dalam jumlah projek lewat dan terbengkalai berbanding laporan Ogos, manakala projek sakit menunjukkan peningkatan sebanyak 10 projek.

Aiman Athirah turut berkata, lawatan tapak dan pemantauan rapi oleh KPKT adalah penting bagi memastikan kemajuan projek sentiasa dipantau dengan teliti.

Sehingga penghujung September, beliau telah melawat 33 projek, yang mana lapan daripadanya telah memperoleh CCC.

Beliau turut menyeru kerjasama daripada jabatan, agensi, dan badan berkanun untuk bersama-sama memulihkan projek perumahan terbengkalai.

“KPKT juga sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pelantikan beberapa agensi termasuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi mempercepatkan pemulihan projek terbengkalai,” katanya lagi.

Pihak Berkuasa Negeri juga diseru untuk bersama-sama berganding bahu dalam menangani projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button