Luar Negara

Sidang kemuncak BRICS bermula

KAZAN – Puluhan pemimpin dunia mula berkumpul di Russia hari ini, bagi menghadiri pembukaan sidang kemuncak kumpulan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), lapor AFP.

Sidang kemuncak ini adalah pertemuan terbesar diadakan di Russia, sejak negara itu menceroboh Ukraine dan menyaksikan Moscow dikenakan sekatan ekonomi antarabangsa.

Antara pemimpin dijadual menghadiri sidang kemuncak di Kazan bermula hari ini sehingga Khamis adalah Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Malaysia yang sebelum ini telah menyatakan hasrat menyertai pakatan itu, akan diwakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Antara isu bakal dibincangkan termasuk idea Presiden Russia, Vladimir Putin bagi mewujudkan sistem pembayaran diketuai BRICS untuk bersaing dengan SWIFT, sebuah rangkaian antarabangsa yang menyekat bank-bank Russia sejak 2022.

Selain itu, sidang ini dijangka akan turut menyentuh konflik yang semakin meningkat di Asia Barat.

BRICS merupakan satu pakatan ekonomi baharu untuk mencabar hegemoni Barat.

Bermula dengan empat anggota ketika ditubuhkan pada 2009, BRICS kini berkembang dengan penyertaan negara baharu lain seperti Afrika Selatan, Mesir dan Iran.

Turkiye, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang sebelum ini mempunyai hubungan rumit dengan Russia dan Barat, kini menyatakan hasrat untuk menyertai blok berkenaan bulan lalu, sama seperti Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button