Berita Semasa

JBPM perlu pertingkat keupayaan cegah, urus kebakaran dan situasi kecemasan rumit – Kor Ming

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu terus meningkatkan keupayaan dalam mencegah, mengurus dan bertindak balas bukan sahaja kepada insiden kebakaran, tetapi juga kepada pelbagai situasi kecemasan yang rumit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, memandangkan landskap global yang berkembang pesat, langkah proaktif perlu diambil bagi menangani risiko seperti perubahan iklim, peningkatan bahaya industri dan teknologi baharu.

“Perubahan iklim meningkatkan risiko berkaitan kebakaran, membawa kepada kebakaran hutan yang lebih kerap. Kebakaran juga boleh meningkat di kawasan bandar akibat kejadian cuaca ekstrem.

“Bencana alam seperti taufan, banjir dan tanah runtuh juga menimbulkan ancaman serius kepada komuniti kita.

“Juteru itu, dalam meningkatkan keupayaan, ia memerlukan penerokaan strategi penyesuaian yang boleh bertindak balas secara berkesan kepada cabaran yang berkembang ini,” katanya.

Nga Kor Ming merasmikan tiga acara iaitu Persidangan Agung Persatuan Ketua Bomba Antarabangsa Asia (IFCAA); Persidangan dan Pameran Kebakaran Antarabangsa Malaysia (IFCEM) serta Cabaran Penyelamatan Antarabangsa Malaysia (MIREC) hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan tiga persidangan iaitu Persidangan Agung Persatuan Ketua Bomba Antarabangsa Asia (IFCAA); Persidangan dan Pameran Kebakaran Antarabangsa Malaysia (IFCEM) serta Cabaran Penyelamatan Antarabangsa Malaysia (MIREC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad serta Presiden Persatuan Ketua Bomba Antarabangsa Asia (IFCAA) merangkap Ketua Bomba Jabatan Bomba Tokyo, Yoshida Yoshimi.

Presiden Persatuan Ketua Bomba Antarabangsa Asia (IFCAA) merangkap Ketua Bomba Jabatan Bomba Tokyo, Yoshida Yoshimi (tiga kiri) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam ucapannya, Kor Ming memuji Yoshida Yoshimi dan jawatankuasa IFCAA atas komitmen serius mereka untuk menangani isu-isu berbangkit semasa mereka bersidang di Malaysia.

“Yoshida Yoshimi dan jawatankuasa IFCAA telah membincangkan dan menyusun strategi pendekatan terbaik dalam menangani cabaran antarabangsa semasa serta yang dijangkakan pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, Kor Ming turut menggariskan tiga aspek utama yang perlu diberi penekanan iaitu inovasi dalam teknologi keselamatan kebakaran, pembangunan profesional dan latihan serta rangka kerja kerjasama untuk tindak balas kecemasan.

Pada masa yang sama Kor Ming turut menyambut baik usaha Kerajaan Madani yang memperuntukkan RM202.8 juta dalam Belanjawan 2025 khusus buat JBPM.

“Peruntukan tersebut akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti dan keberkesanan JBPM termasuk perolehan trak bomba, helikopter, dan peralatan penting lain,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button