Berita Semasa

Belanjawan 2025: RM209 juta diperuntukkan untuk agenda reformasi institusi dan perundangan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM209 juta kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dalam Belanjawan 2025, meningkat berbanding RM194 juta tahun lalu, sebagai langkah menyokong agenda reformasi institusi dan perundangan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peruntukan itu penting untuk memperkukuh institusi undang-undang dan kehakiman negara.

“Selain itu, lebih RM60 juta diperuntukkan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman, yang akan meningkatkan akses rakyat kepada keadilan dan memperkasakan institusi kehakiman sebagai badan bebas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kerajaan juga komited dalam memelihara kebebasan Parlimen dengan menambah peruntukan kepada RM180 juta, berbanding RM166 juta tahun lalu, termasuk memperkasakan peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara serta Dewan Rakyat, sebagai sebahagian daripada usaha semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

Azalina turut memuji pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai pembentukan Pasukan Reformasi Perundangan untuk mengkaji dan mengemaskini lebih 3,000 undang-undang lapuk, terutama undang-undang komersial, bagi memastikan ia relevan dengan peredaran masa.

Dalam usaha mengekang trend buli siber, kerajaan juga akan menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dalam masa terdekat. Akta itu akan memastikan penyedia perkhidmatan dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan siber, terutamanya melibatkan kanak-kanak.

Selain itu, Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kanun Prosedur Jenayah juga telah dipinda bagi memerangi sindiket jenayah dalam talian yang menggunakan akaun keldai.

Azlina berkata, satu lagi langkah penting ialah peluasan Dasar Peluang Kedua kepada syarikat-syarikat yang diisytiharkan bankrap pada 2025.

“Dasar itu yang diperkenalkan pada 2023, telah memberikan manfaat kepada lebih 170,000 individu yang bankrap, sekaligus membantu mereka dan keluarga membina semula kehidupan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas perhatian yang diberikan kepada sektor perundangan dan reformasi institusi, selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button