PRK DUN Mahkota: Kemenangan BN bukti penerimaan rakyat terhadap gabungan Perpaduan
KUALA LUMPUR – Kejayaan calon Kerajaan Perpaduan memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan kemenangan bergaya membuktikan penerimaan rakyat terhadap gabungan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,
kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah juga membuktikan rakyat menolak politik sempit, perkauman dan agama yang dibawa pembangkang untuk mencetuskan kegusaran rakyat.
“DUN Mahkota memberi isyarat kepada kita bahawa “formula perpaduan” diterima oleh rakyat dan formula ini harus dipertahankan dan digunakan dalam siri pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Umum (PRU) PRU-ke16.
“Walaupun pelbagai sentimen dimainkan pembangkang, namun ternyata rakyat tidak terpengaruh dengan politik sempit dibawa pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu beliau turut memberi pujian terhadap kesepaduan yang terjalin antara jentera perpaduan membabitkan BN dan PH.
“Pujian harus diberikan kepada jentera PH yang saya lihat mereka bersungguh-sungguh bekerja bersama dengan jentera BN untuk memenangkan calon BN dari UMNO.
“Tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kejayaan luar biasa ini dan kepada Syed Hussein selamat berkhidmat, jalankan amanah dengan penuh tanggungjawab,” katanya.