Pendapat

Peluasan projek kabel internet bawah laut China ancaman kepada negara serantau

HUAWEI, konglomerat telekomunikasi terbesar China sedang giat meluaskan projek kabel internet bawah laut di serata dunia dengan tumpuan kini beralih ke rantau Asia Pasifik.

Sekatan ke atas Huawei atas faktor keselamatan oleh beberapa negara di rantau ini seperti Jepun, Taiwan, Australia dan New Zealand tidak menghalang syarikat China tersebut untuk mengukuhkan kedudukan di Asia Pasifik menerusi syarikat subsidiari mereka, Huawei Marine Networks.

Setakat ini, syarikat berkenaan terlibat dalam beberapa projek mega kabel internet bawah laut seperti sistem kabel Afrika-1, sistem kabel ekspres Pakistan-Afrika Timur (PEACE) dan sistem kabel ekspres Trans-Pasifik.

Nikkei Asia menganggarkan Huawei terlibat dalam 30 projek kabel internet bawah laut yang lain di serata dunia.

Memandangkan peningkatan data trafik internet, wujud satu keperluan yang mendesak untuk memperbaharui kabel internet bawah laut sedia ada di di rantau Asia Pasifik khususnya di Laut China Selatan.

Huawei dilihat berminat untuk terlibat dalam projek tersebut. Hal ini yang mencetuskan kebimbangan negara-negara serantau.

Konflik perebutan wilayah di Laut China Selatan melibatkan China dengan beberapa negara serantau termasuklah Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei sudah berlautan sekian lama.

Salah satu langkah yang diambil China bagi menguatkan tuntutan mereka di wilayah berkenaan ialah dengan membina infrastruktur di Laut China Selatan seperti pulau buatan di Terumbu Calderon yang dilengkapi dengan markas tentera dan pelabuhan.

Projek kabel internet bawah laut oleh Huawei dikhuatiri akan menjadi sebahagian daripada perancangan China untuk meluaskan kepentingan mereka di wilayah berkonflik berkenaan.

Dalam masa yang sama, kebimbangan ini bertitik-tolak daripada reputasi buruk Huawei dalam isu keselamatan siber.

Beberapa negara telah mendakwa Huawei terlibat dalam beberapa isu seperti kebocoran data pengguna, risikan dan godaman.

Misalnya, Australia telah mengenakan embargo ke atas Huawei berikutan dakwaan bahawa syarikat berkenaan terlibat dalam pencerobohan sistem sekuriti Australia menggunakan ‘digital wiretap’ melalui peranti mereka.

Kedaulatan dan keselamatan siber negara merupakan isu yang tidak boleh dikompromi. Negara-negara Asia Pasifik perlu bertegas dalam menolak gerakan Huawei untuk melobi projek pembinaan kabel internet bawah laut.

Zaman sudah berubah. Jalur lebar kini adalah satu bentuk hak asasi. Jangan sesekali biarkan hak ini dicabuli.

Oleh Dr Danial Azman
Penganalisis Isu Antarabangsa

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi portal Malaysia Tribune

Show More

Related Articles

Back to top button