Politik

Baru terima draf dah riuh kat luar – selar Saifuddin

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan pembangkang yang menolak draft memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang tanpa mengadakan perbincangan lanjut.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sekiranya pembangkang ikhlas mereka perlu mengikut tertib pembincangan tanpa perlu menghebahkan kepada media.

“Dahulu saya ikut wakili PH dalam rundingan dengan pihak kerajaan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri. PH turut diwakili Anthony Loke, Salahuddin (Allahyarham) dan Gobind.

“Kerajaan pula diwakili Datuk Seri Wan Junaidi, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Pertamanya pihak kerajaan kemuka draf. PH bincang dalam Majlis Presiden PH. Kemudian PH beri maklum balas. Pihak kerajaan meneliti maklum balas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu.

“Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan. Sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MOU,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebooknya.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, MoU itu kemudiannya dimeterai dalam satu majlis di Parlimen dengan dihadiri Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“MOU kali ini? Baru terima draf dah riuh kat luar. Betullah kata Tibalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kalau pilih nak bercakap dengan media tak perlu lah nak berunding,” katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berpendapat, draf MoU berkaitan peruntukan pembangkang hanya dibuat oleh kerajaan tanpa membabitkan sebarang perbincangan bersama pihak PN.

Susulan itu, PN kemudian sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU itu berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN dibuat atas empat sebab fundamental terutama apabila membabitkan pengisytiharan harta.

Sehari selepas keputusan diumumkan, Fadillah mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak agar ia dapat dinilai sendiri oleh orang ramai.

Show More

Related Articles

Back to top button