Jenayah & Mahkamah

Polis buka dua kertas siasatan susulan demonstrasi aman di Kedutaan Sweden, Belanda

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan demonstrasi aman dan serahan memorandum kepada Kedutaan Belanda dan Sweden, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mendapati berlaku penganjuran dua perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan.

“Hasil pemerhatian polis mendapati seramai lebih kurang 80 orang (difahamkan wakil NGO dan perseorangan) telah menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda.

“Manakala pada masa yang sama, seramai lebih kurang 400 orang lagi individu dikesan menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Sweden,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Demonstrasi aman dan serahan memorandum tersebut diadakan bagi membantah insiden pembakaran al-Quran dan penghinaan agama Islam di negara Sweden dan Belanda, baru-baru ini.

Berikutan itu, tambah Noor Delhan, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran.

“Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terlibat di dalam kedua-dua perhimpunan dan demonstrasi bantahan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan yang dijalankan polis.

“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut dalam kes tersebut.

“Pada masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat tanpa sebarang kompromi dalam menjamin ketenteraman awam,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button