Bisnes & Ekonomi

Baja Taveekun diiktiraf miliki Teknologi Pertanian Bersih (CAT)

KUALA LUMPUR – Syarikat pengilang baja, Taveekun Manufacturing Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Pertanian Bersih Sdn. Bhd. (PBSB) iaitu sebuah Syarikat Pemula inovatif dalam misi ke arah pertanian lestari.

Menerusi kerjasama strategik tersebut, satu penyelidikan berasaskan Teknologi Pertanian Bersih (CAT) akan dijalankan kepada Taveekun.

Presiden Kumpulan Taaveekun, Md Fadzilah Ariffin berkata, penyelidikan yang diketui oleh Profesor Madya Dr. Che Radziah Che Mod Zain dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu disifatkan boleh memberikan nilai tambah terbaik kepada imej produk Taveekun.

“Saya percaya dengan adanya pengiktirafan Teknologi Pertanian Bersih (CAT) ia mampu memberi tambah nilai terhadap jenama Taveekun, sekali gus membina kepercayaan pengguna di luar sana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Secara umumnya, CAT merupakan sistem pertanian selamat dan bersepadu yang menggabungkan bahan serta kaedah pertanian berasaskan pengetahuan saintifik.

Antara kelebihan CAT termasuk mampu meningkatkan hasil dan kualiti hasil pertanian di samping mengekalkan kesuburan tanah, tumbuhan, alam sekitar dan biodiversiti.

Menurut Dr. Che Radziah, kerjasama ini berpotensi untuk merevolusikan sektor pertanian Malaysia dan seterusnya mempromosikan amalan pertanian mampan melalui Teknologi Pertanian Bersih (CAT).

“Saya juga mengalu-alukan lebih banyak kerjasama berdasarkan CAT dengan pihak berkepentingan lain dalam industri pertanian di Malaysia,” ujarnya.

Taveekun menjalin kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama PBSB yang diketuai Profesor Madya Dr. Che Radziah Che Mod Zain (dua kiri) dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam perkembangan lain, Taveekun Manufacturing Sdn Bhd menyasarkan jualan sebanyak RM60 juta pada akhir tahun ini.

Md Fadzilah optimis bahawa sasaran itu mampu dicapai memandangkan Taveekun kini telah menerima pengiktirafan CAT yang dilihat akan meningkatkan kepercayaan pemain industri pertanian di luar sana terhadap produk baja Takeevun.

“Tahun lepas jualan melebihi RM50 juta dan sasaran untuk tahun ini pun sama juga. Tapi bila ada CAT dan logo UKM di produk kami harapkan mudahkan pemasaran kami (bagi capai sasaran jualan RM60 juta),” katanya.

Mengulas mengenai perancangan Taveekun, Md Fadzilah berkata, Taveekun yang kini telah dipasarkan di Thailand dan Brunei dijangka akan memasuki pasaran negara jiran yang lain seperti di Kemboja dan Indonesia.

“Produk Taveekun turut dipasarkan di negara Brunei dan Thailand. Sekarang ini kami dalam perancangan untuk mengembangkanya di pasaran Indonesia. Permintaan juga sudah ada di Kemboja,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button