Berita Semasa

TH kaji wujudkan tabung wakaf sebagai inisiatif pemberian subsidi

KUALA LUMPUR – Satu kajian sedang dilaksanakan bagi mewujudkan tabung wakaf sebagai antara inisiatif pemberian subsidi kepada jemaah haji.

Perkara itu dimakumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Nai’im Mokhtar di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kajian itu sedang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

“Insya-Allah pihak Tabung Haji mengambil kira cadangan mewujudkan wakaf, saya rasa ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan diambil oleh TH pada masa depan.

“Kita akan nilai, buat kajian berkaitan cadangan ini dan insya-Allah pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa sama ada TH bercadang memperkenalkan pendekatan yang lebih lestari dengan mewujudkan tabung wakaf haji.

Ini bagi mengangani tekanan subsidi supaya bantuan kewangan diberikan secara adil kepada semua jemaah haji.

Sebelum ini, TH telah mengumumkan kos menunaikan haji pada tahun ini yang berbeza mengikut kumpulan B40, M40 dan T20 berikutan jumlah subsidi yang diberikan semakin meningkat kepada RM500 juta tahun depan.

Mohd Nai’im menambah, peningkatan subsidi akan memberi kesan kepada TH dalam aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

“TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada 2023.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat hampir kepada RM500 juta pada 2024 sekiranya bayaran haji tidak disemak dan ini akan memberi kesan kepada TH yang perlu memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (PN) Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad yang meminta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Show More

Related Articles

Back to top button