Politik

;Jangan perbodohkan rakyat’ – Anwar

Anwar selar sikap seorang bekas perdana menteri

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap seorang bekas perdana menteri yang sering menyuarakan mengenai nasib orang Melayu tetapi tidak berbuat apa-apa ketika berkuasa.

Kata Anwar, yang juga Presiden PKR, bekas perdana menteri itu juga turut mendakwa orang Melayu akan tertindas di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Tanpa menamakan secara khusus siapa bekas perdana menteri itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun hanya memberi gambaran menerusi angka ’22 tahun dan 22 bulan’.

Untuk rekod, tempoh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri adalah selama 22 tahun ketika bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN), selain 22 bulan sewaktu menerajui pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Ada orang dulu 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, (tetapi) sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.

“Bagaimana tak hilang (kuasa dan harta orang Melayu) kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu dan sekarang apabila hilang kuasa (kamu mula) bicara soal rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya sempena  Kongres Nasional Khas 2023 Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisma di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, beliau juga meminta bekas perdana menteri tersebut untuk berhenti menyebarkan spekulasi sekali gus memperbodohkan rakyat.

Kata Anwar, tuduhan itu termasuklaj mengatakan Kerajaan Perpaduan mengabaikan hak orang Melayu.

“Jangan perbodohkan rakyat, rakyat harus bangkit pertahan hak mereka. Kamu pegang tampuk kuasa, di mana RUU 355 (Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)?

“Mana projek meningkatkan dana untuk (negeri majoriti Melayu Islam) Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah?

“Tetapi Belanjawan 2023 tahun ini yang meningkatkan jumlah kewangan untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. Lebih sikit untuk Sabah dan Sarawak kerana mereka ketinggalan banyak perkara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button