Jenayah & Mahkamah

Chegu Bard direman dua hari

PUTRAJAYA – Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard, direman selama dua hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan di bawah tiga seksyen berlainan.

Peguamnya, Rafique Rashid dalam satu kenyataan hari ini berkata, Chegu Bard disiasat dibawah Seksyen 203a Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Rafique, pihak polis memohon agar Chegu Bard direman selama empat hari, namun ditolak Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Katanya, mahkamah kemudian membenarkan reman selama dua hari selepas mendengar hujan kedua-dua belah pihak.

“Setelah mendengar hujahan bahawa Chegu Bard telah diklasifikasikan sebagai seorang pemberi maklumat (whistleblower) yang harus diberi perlindungan dari segi undang-undang.

“Esok pagi atau tengah hari esok kalau tiada apa-apa masalah dia akan dilepaskan daripada tahanan reman kecuali polis mohon untuk lanjutan reman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam satu sidang media di perkarangan Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Semalam, Chegu Bard telah ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya susulan pendedahan dakwaan isu korupsi dan rasuah oleh pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, Badrul ketika ditemui menyatakan dia berada dalam keadaan sihat serta turut mengucapkan terima kasih kerana membuktikan pendedahan dokumen itu ‘asli’.

“Terima kasih kerana membuktikan dokumen tersebut adalah dokumen asli dan apa yang saya dedahkan adalah benar-benar benda yang betul,” katanya sambil dibawa pihak polis dalam keadaan bergari.

Show More

Related Articles

Back to top button