Kertas siasatan hampir siap, dijangka serah kepada TPP sebelum Jumaat
PETALING JAYA – Kertas siasatan kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP) sebelum Jumaat ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha pencarian bahan bukti di lokasi kejadian dan beberapa lokasi lain yang berkaitan juga telah selesai.
“Pihak polis telah selesai pencarian tempat kejadian dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada TPP sebelum Jumaat ini,” katanya ringkas ketika dihubungi BERNAMA.
Pada 17 Julai lepas, Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan sebuah telefon pintar milik Nur Farah Kartini ketika melakukan operasi mencari bahan bukti di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang.
Hasil soal siasat ke atas suspek, pasukan forensik kemudian ke Sungai Trolak Kampung Batu 4, di Slim River, Perak dan menemukan beg tangan dipercayai milik mangsa.
Operasi pencarian bahan bukti lain di sungai itu bagaimanapun tertangguh beberapa hari berikutan keadaan paras air sungai yang tinggi selain arus deras.
Operasi pencarian yang disambung kelmarin berjaya menemukan kunci kereta dan dompet dipercayai bukti penting yang boleh membantu dalam kes pembunuhan wanita berusia 25 tahun dari Miri, Sarawak itu.
Nur Farah Kartini, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum jasadnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pekan Pahang, pada 18 Julai.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Slim River kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.