Kumpulan rakyat Malaysia dari Bangladesh dijangka tiba petang ini
SEPANG – Kumpulan rakyat Malaysia yang dievakuasi dari Dhaka, Bangladesh dijangka tiba di tanah air kira-kira pukul 4.10 petang ini.
Terdahulu, penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 di sini, pada pukul 7.30 pagi tadi.
Pesawat Airbus A330 yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada pukul 9.20 pagi (waktu tempatan).
Menurut Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar, Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang mengetuai misi berkenaan, lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak semalam.
Beliau berkata, misi itu dirancang sejak 12 Julai, manakala pelaksanaannya pula mengambil masa paling singkat, kurang 12 jam.
Kelmarin, kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung seluruh negara dan mengerahkan tentera susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar.