Pemain bola sepak Palestine dan 3 ahli keluarga maut dalam serangan Israel
GAZA – Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengesahkan pemain pertahanan pasukan Al-Ahly, Ahmad Abu al-Atta dan keluarganya terbunuh dalam serangan udara oleh Israel.
Menurut kenyataan dikeluarkan PFA kelmarin, Ahmad meninggal dunia di samping isterinya, Ruba Esmael yang merupakan seorang pengamal perubatan dan dua anak.
Bagaimanapun tarikh serangan itu tidak dinyatakan secara tepat. Kebanyakan media tempatan melaporkan kejadian berlaku pada Jumaat lalu.
Mei lalu, pengadil antarabangsa, Hani Mesmeh meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.
Sejak konflik yang tercetus Oktober tahun lalu, seramai 300 atlet, pengadil dan petugas sukan Palestin dilaporkan terbunuh dengan hampir kesemua fasiliti sukan di negara itu musnah.
Mereka termasuk pemain bola sepak Mohammed Barakat yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis pada Mac, Penolong Pengadil Antarabangsa FIFA, Mohammed Khattab, yang terbunuh bersama isteri dan empat anaknya di Deir Al Balah pada Februari.
Sekurang-kurangnya 37,598 rakyat Palestin terbunuh dan 86,032 lagi cedera dalam serangan tentera Israel di Gaza sejak 7 Oktober, menurut Kementerian Kesihatan Gaza semalam.