Kementerian Komunikasi tidak pernah arah agensi media tutup ruangan komen
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan arrahan kepada mana-mana agensi media untuk menutup ruangan komen di akaun media sosial.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, agensi media berhak untuk mengenakan sekatan termasuk menutup ruangan komen sekiranya terdapat keperluan untuk melakukan perkara sedemikian.
Jelas Fahmi, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2021, mana-mana platform bertanggungjawab terhadap komen pembaca yang dimuat naik dalam ruangan laman portal media.
“Sukacita saya ingatkan Dewan yang mulia ini tentang keputusan yang pernah dibuat di
Mahkamah Persekutuan sekitar 2021, berkenaan komen pembaca yang dimuat naik dalam ruangan laman portal media.
“Ini keputusan Mahkamah Persekutuan
bahawa platform tersebut bertanggungjawab atas komen-komen yang dimuat naik, saya sarankan kita berhati-hati dengan komen yang dimuat naik,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab
soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas,
Ahmad Fadhli Shaari yang bertanyakan mengenai ruangan komen akaun media sosial agensi media seperti Bernama yang ditutup dan kaedah mengimbangi hak kebebasan bersuara dan sekatan berkaitan undang-undang yang perlu dikenakan terhadap buli siber.
Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam memberikan komen walaupun ia dimuat naik semasa siaran langsung di apliksasi media sosial.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendapat kerjasama daripada platform-platform media sosial untuk mengenal pasti mereka yang meletakkan komen walaupun dalam sesi siaran langsung,” katanya.