Berita Semasa

Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan masih dalam perlindungan JKM Selangor

SHAH ALAM – Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih ditempatkan di rumah perlindungan kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum memtusukan pihak yang layak menjaganya.

Menurut Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, walaupun mereka sudah mengenal pasti pihak yang layak menjaganya, namun pihaknya masih melihat pelbagai pilihan lain.

Tambahnya, JKM Selangor masih menanti keputusan perjalanan kes membabitkan ibu bapa kanak-kanak berkenaan di mahkamah yang sehingga kini belum bermula lagi.

“Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan kini dibawah perintah jagaan sementara JKM dan kita tempatkan dia di rumah perlindungan sehingga satu tempoh mahkamah tetapkan.

“Kita sudah kenalpasti siapa yang layak tapi buat masa ini kita masih melihat pelbagai pilihan siapa sesuai untuk menjaga adik ini kelak.

“Ia juga bergantung kepada keadaan kes (membabitkan ibu bapa kanal-kanak itu) sebab kes itu belum berjalan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Persidangan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) JKM, di sini hari ini.

Laporan media Jun lalu menyebut, adik Allahyarham Zayn Rayyan kini berada dalam perlindungan JKM Selangor.

Sebelum itu, ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Show More

Related Articles

Back to top button