Berita Semasa

Hampir separuh daripada 1,080 taska tidak berdaftar dengan JKM dikenakan tindakan – Nancy

PUTRAJAYA – Kerajaan telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pentadbiran ke atas 49.8 peratus atau 538 daripada 1,080 taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, antara tindakan penguatkuasaan yang diambil ialah penyitaan (lak) dan juga denda dan kompaun, manakala tindakan pentadbiran pula melibatkan pemberian notis peringatan kepada operator taska tersebut.

“Ia adalah proses penguatkuasaan berterusan yang kita lalui sekarang iaitu pemutihan… sama ada kita akan beri mereka amaran atau masa untuk mereka memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

“Dalam kita nak mengambil tindakan, kita juga perlu memikirkan kesannya secara lebih besar seperti kalau taska itu terus dilak, di mana pula ibu bapa nak hantar anak-anak mereka, (jadi) tindakan kita perlu munasabah,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran ‘Heart and Homes: Aidilfitri Charity Launch With Sommni and Poney’, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Sommni and Poney menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN), menyerahkan sumbangan 100 unit tilam dianggarkan bernilai RM35,000 untuk disalurkan kepada enam institusi dan rumah kanak-kanak yang berdaftar di bawah JKM.

Terdahulu, dalam ucapannya Nancy berkata, syarikat korporat, swasta dan individu dialu-alukan untuk menjalankan program CSR bersama agensi di bawah kementerian demi kesejahteraan kumpulan sasar KPWKM.

Beliau berkata, kerjasama strategik tersebut menunjukkan hubungan yang harmoni antara kerajaan dan swasta dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

“Penglibatan para penyumbang melalui platform CSR dengan YKN membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar dapat dibantu dan sumbangan dapat diatur serta disalurkan secara terus dan sistematik kepada mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button