Lelaki pandu lawan arus di Jalan Ayer Hitam ditahan
BATU PAHAT – Seorang lelaki berusia 46 tahun yang memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, di sini berjaya ditahan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian pada 6 Julai lalu itu, suspek didapati memandu di laluan bertentangan dan nyaris menyebabkan kemalangan.
‘Aksi’ suspek yang dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) itu tular di media sosial baru-baru ini.
“Suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Sisatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada pukul 3 petang keesokan hari.
“Turut ditahan kereta yang dipandu pada hari kejadian bagi membantu siasatan punca tindakan lelaki terbabit memandu melawan arus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrulanuar berkata, siasatan awal termasuk saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.
“Kita menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan mematuhi isyarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua terjamin.” katanya.