Akta Perlindungan Data Peribadi akan dibentang di Dewan Rakyat kali ini
PUTRAJAYA – Kabinet telah meluluskan cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang dijangka akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pindaan ini adalah perlu bagi memastikan perundangan perlindungan data peribadi di Malaysia adalah selaras dengan piawaian, perubahan serta perkembangan undang-undang pada peringkat global.
“Pindaan ini juga adalah perlu bagi menangani isu penyalahgunaan data peribadi yang berlaku.Dalam tempoh Oktober 2023 hingga Mac 2024, statistik jumlah aduan yang diterima menunjukkan trend peningkatan sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun 2023.
Secara keseluruhan sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 322 aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi telah diterima oleh Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP). Sebanyak 157 aduan telah diterima pada suku keempat tahun 2023 manakala 165 aduan diterima pada suku pertama tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Digital memaklumkan statistik pelanggaran data peribadi secara khususnya, meningkat dengan lebih ketara iaitu sebanyak 41 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun 2023.
Pada suku keempat tahun 2023, Pejabat Pesuruhjaya PDP telah menerima sebanyak 27 notifikasi pelanggaran data peribadi berbanding pada suku pertama tahun 2024, sebanyak 38 notifikasi pelanggaran data peribadi telah diterima.secara purata terdapat sedikit penurunan di atas usaha penguatkuasaan berterusan oleh Pejabat Pesuruhjaya PDP, namun angka statistik ini masih membimbangkan.
Gobind berkata kebimbangan ini disebabkan oleh peningkatan pelbagai jenayah lain seperti penipuan dalam talian termasuk penipuan identiti yang salah satunya berpunca dari insiden kecurian dan kebocoran data peribadi.
“Laporan statistik oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 bilion telah dilaporkan di seluruh negara tahun lalu.
“Berdasarkan statistik 2023 tersebut, kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan SMS, tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon antara kes tertinggi yang direkodkan dengan 10,348 kes membabitkan kerugian RM352.9 juta,” katanya lagi.
Keputusan kabinet kepada cadangan pindaan Akta 709 ini, turut mengambil kira input dan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan melalui pelbagai sesi libat urus.
Sebanyak 40 sesi libat urus bersama dengan 719 pemegang taruh yang terdiri daripada sektor awam, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan kawal selia, pemain industri, persatuan yang mewakili pemain industri dan pihak-pihak lain yang berkepentingan telah dilaksanakan.
Gobind berkata, antara cadangan utama pindaan kepada Akta 709 adalah mewajibkan pemberitahuan mengenai pelanggaran data peribadi Pengguna Data diwajibkan untuk melaporkan dengan kadar segera sebarang insiden pelanggaran data peribadi yang berlaku kepada Pesuruhjaya PDP.
“Ketidakpatuhan terhadap kewajipan pemberitahuan pelanggaran data peribadi boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM250,000.00 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya.
“Pindaan penambahan tanggungjawab pematuhan oleh Pemproses DataTanggungjawab pematuhan prinsip perlindungan data peribadi di dalam Akta dikenakan secara langsung kepada Pemproses Data. Ketidakpatuhan oleh Pemproses Data terhadap Prinsip Keselamatan ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.
Selain itu, hak kemudahalihan data telah diperuntukkan dalam banyak perundangan perlindungan data di peringkat antarabangsa seperti EU-GDPR, UK DPA 2018, Singapore PDPA 2012, Japan APPI 2003 dan South Korea PIPA 2011.
Gobind turut memaklumkan pindaan ini akan memansuhkan keperluan pewartaan tempat yang dibenarkan untuk pemindahan mana-mana data peribadi ke luar Malaysia
“Akta 709 sedia ada hanya membenarkan Pengguna Data untuk memindahkan data peribadi Subjek Data ke luar Malaysia bagi tempat yang ditentukan oleh Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta.
“Dengan memansuhkan peruntukan mengenai pewujudan siaran Warta tersebut, pemindahan data peribadi ke luar Malaysia adalah dibenarkan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Cadangan pindaan Akta 709 ini adalah untuk penambahbaikan dasar khususnya dari aspek keselamatan dan penguatkuasaan dalam menangani isu pelanggaran dan penyalahgunaan data peribadi di Malaysia,” katanya lagi.