Berita Semasa

Helikopter TDM buat pendaratan cemas

Tiga anggota cedera

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan sebuah helikopter Agusta A109 LOH miliknya terpaksa melakukan pendaratan cemas di Kem Mahkota Kluang di Johor, awal pagi tadi.

Menurut TDM dalam satu kenyataan sebentar tadi, kejadian berlaku pada pukul 1.35 pagi ketika anggotanya sedang melakukan latihan penerbangan malam bagi melengkapkan Kursus Army Aviation Basic Officer Course.

“Insiden ini melibatkan tiga anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, seorang penuntut kursus dan seorang kru kuatermaster.

“Kesemua kru yang terlibat dalam keadaan sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan telah mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan tersebut.

TDM turut memaklumkan, kesemua anak kapal dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk mendapatkan rawatan, di mana mereka semua berada dalam keadaan stabil.

“Tindakan TDM adalah Henti Terbang Sementara (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan.

“Ratifikasi dan one-time inspection akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu seterusnya berkata, pihaknya akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“TDM juga memohon supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mendoakan agar kesemua anak kapal diberikan kesembuhan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button