Bisnes & Ekonomi

Ekonomi digital disasar sumbang 25.5 peratus KDNK menjelang akhir 2025 – Gobind

SUBANG JAYA – Ekonomi digital disasarkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tahun depan, iaitu meningkat berbanding 23 peratus pada masa ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Menurut Gobind, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai dengan penyediaan infrastruktur yang komprehensif oleh kerajaan serta liputan internet yang kian meningkat di seluruh negara.

“Ia bergantung pada seberapa pantas kita mengguna pakai teknologi dan seberapa banyak yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan ekonomi digital kita. Saya percaya ia adalah matlamat yang boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran e-dompet MYDINPay di pasar raya besar Mydin cawangan Subang Jaya hari ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo (tengah) menyempurnakan pelancaran aplikasi e-dompet MYDINPay di Mydin Cawangan USJ hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas mengenai aplikasi e-dompet MYDINPay, Gobind berkata, pelancaran aplikasi tersebut amat signifikan dengan perubahan gaya hidup masyarakat pada masa ini yang sedang beralih kepada penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan mereka.

“Dengan peningkatan e-dagang, perbankan mudah alih dan pembayaran tanpa sentuh, e-dompet telah muncul sebagai cara yang mudah dan selamat untuk mengurus transaksi wang.

“Saya ingin mengucapkan syabas atas usaha MYDIN untuk menjadi rangkaian pemborong dan peruncit tempatan pertama yang melancarkan aplikasi e-dompet,” katanya.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, adalah penting bagi memastikan semua industri di Malaysia untuk mendigitalkan operasi dengan teknologi baharu, sekali gus meningkatkan sumbangan mereka dalam KDNK.

“Kita juga lihat kepada industri-industri. Bila ada teknologi baharu seperti 5G apa yang penting adalah untuk pastikan industri-industri ini menggunakan teknologi itu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Oleh sebab itu, kita boleh lihat lonjakan yang mereka dapat daripada penggunaan teknologi itu amat tinggi dan maka itu adalah perkara yang bakal menyumbang dengan besar kepada KDNK,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button