Berita SemasaSukan

Mbappe tidak akan jalani pembedahan hidung

DUSSELDORF – Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe tidak akan melakukan pembedahan di bahagian hidungnya selepas disahkan oleh pegawai perubatan.

Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Philippe Diallo berkata, beliau mengesahkan kakitangan perubatan pasukan memutuskan Mbappe tidak memerlukan pembedahan selepas pemeriksaan lanjutan dijalankan.

“Keadaannya stabil dan tidak memerlukan pembedahan,” katanya kepada pemberita.

Katanya, penyerang Real Madrid itu meninggalkan hospital pada pukul 1 pagi waktu tempatan dan kembali bersama pasukan untuk persediaan menghadapi perlawanan seterusnya menentang Belanda.

Terdahulu, insiden itu berlaku ketika Perancis membuka kempen Euro 2024 dengan kemenangan tipis 1-0 awal pagi tadi.

Mbappe telah dikejarkan ke hospital di sini sejurus selepas perlawanan tersebut.

Pada mulanya, timbul kebimbangan bintang utama Les Bleus itu memerlukan pembedahan, yang berpotensi untuknya terlepas baki kempen kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Kylian Mbappe mencetuskan tawa di media sosial apabila berseloroh tentang jenis pelindung muka yang perlu digunakan selepas hidungnya patah.

Kylian Mbappe memuat naik satu hantaran di X mengenai topeng pelindung muka.

Susulan itu, ramai di media sosial yang menyarankan agar Mbappe memakai topeng Ninja Turtle sebagai pelindung muka yang paling sesuai untuknya.

Show More

Related Articles

Back to top button