Uncategorized

1.83 juta umat Islam tunai ibadah haji tahun ini

MAKKAH – Seramai 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji tahun ini, menurut Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi, lapor Bernama.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan, daripada jumlah itu sebanyak 958,137 jemaah terdiri daripada lelaki manakala 875,027 adalah jemaah wanita.

Pihak berkuasa berkenaan memaklumkan jumlah jemaah haji luar ialah sebanyak 1,611,310 manakala jemaah tempatan 221,854 orang.

“Peratusan jemaah haji dari Asia tidak termasuk negara Arab mewakili 63.3 peratus, negara Arab (22.3 peratus), negara Afrika (11.3 peratus), dan Eropah, Amerika Utara dan Selatan serta Australia (3.2 peratus),” menurut pihak berkuasa itu.

Statistik itu menunjukkan jumlah ketibaan jemaah haji tertinggi adalah melalui lapangan terbang dengan 1,546,345 orang diikuti darat (60,251) dan pelabuhan (4,714).

Dalam pada itu, jumlah jemaah haji yang mendapat manfaat daripada Inisiatif Laluan Makkah pada musim haji tahun ini ialah sebanyak 322,901 orang.

Sementara itu, pihak berkuasa berkenaan juga menyatakan antara objektif pengumpulan data terperinci ini adalah bagi menyokong pembuat keputusan dalam mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah haji. -Bernama

Show More

Related Articles

Back to top button