Arkib Negara disaran adaptasi teknologi digital terkini
PETALING JAYA – Arkib Negara Malaysia disaran mengadaptasi teknologi pendigitalan dalam mendepani cabaran serta peluang yang dibawa melalui kecerdasan buatan, (AI), blockchain, cloud computing dan Internet of Things (IoT) dalam pengurusan rekod dan arkib.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, pihak Arkib Negara terutamanya golongan arkivis perlu memainkan peranan dalam menerima pakai dan menyesuaikan diri dengan perubahan digital yang berlaku.
Katanya, persediaan itu penting kepada Arkib Negara sebagai penyedia maklumat yang boleh diakses pada masa kini dan akan datang selaras dengan peningkatan jumlah saluran media dan komunikasi.
“Capaian dan akses kepada bahan arkib dapat menjadikan masyarakat bermaklumat yang mampu membuat keputusan secara telus, memelihara warisan khazanah negara sekali gus dapat memupuk semangat perpaduan.
“Rujukan bahan arkib dan maklumat lain secara dalam talian secara meluas juga seiring dengan saranan Kerajaan untuk meningkatkan 80 peratus penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara digital menjelang 2025,” katanya.
Saraswathy berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata, maklumat daripada bahan arkib dapat menyediakan bukti kepada tindakan dan transaksi kepada hak individu, masyarakat, organisasi dan negara.
Selain itu katanya, proses pindaan Akta Arkib 2003 (Akta 629) yang bertujuan untuk memperkasakan tatakelola dan integriti dalam pengurusan rekod dan arkib akan selesai tidak lama lagi.
Sementara itu, Saraswathy juga menyatakan sokongan dan kepercayaan kepada Arkib Negara sebagai salah sebuah agensi di bawah kementeriannya yang terus berusaha memelihara dan memasyarakatkan memori institusi negara.
“Sambutan kali ini adalah manifestasi usaha untuk memelihara dan melestarikan bahan arkib sebagai khazanah negara dalam memupuk integrasi nasional.
“Ia juga mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi bermaklumat serta memiliki semangat perpaduan yang tinggi,” katanya.