MAHA 2024 sasar tarik RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman
SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang diadakan bermula 11 hingga 22 September depan menyasarkan untuk menarik sebanyak RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman melalui penganjuranya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perolehan itu antara petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan untuk MAHA 2024 yang meraikan ulang tahun ke-100 sejak penganjurannya pada 1923.
“KPKM juga menyasarkan nilai potensi pembiayaan kewangan RM600 juta atau sekurang-kurangnya 4,000 permohonan dengan nilai jualan langsung sekurang-kurangnya RM40 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Mohamad berkata, MAHA 2024 yang bakal menarik tiga juta pengunjung akan menjadi platform dalam mempromosikan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Minggu depan pada hari raya haji ketiga misalnya, kita akan adakan tandatangan bersama kerajaan China iaitu mengeksport durian ke negara itu.
“Kerjasama antarabangsa ini antara fokus kita kerana dunia kini sudah menjadi satu ‘global village’, jadi kita juga perlu bergantung kepada negara lain jika berlakunya masalah yang dihadapi begitu juga dengan negara lain.
“Alhamdulillah, sekarang ini kerjasama kita di antara peringkat antarabangsa begitu baik sekali dan kini lebih 180 syarikat antarabangsa berminat menyertai MAHA 2024 daripada 2,000 sasaran pempamer,” katanya lagi.