Berita Semasa

TPM Zahid kemuka tiga cadangan khusus perkasa TVET

BANTING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan tiga cadangan khusus dalam memastikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasa.

Beliau yang merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, cadangan tersebut termasuk mengadakan minggu TVET di peringkat sekolah.

Katanya, ia bertujuan memberi pemahaman kepada murid berhubung TVET sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran yang lebih tinggi.

“Mewujudkan segmen khusus seperti tekno usahawan dan TVET tahfiz. Turut mengambil kira TVET khusus untuk Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar TVET kepada orang asal di Sabah dan Sarawak mesti diwujudkan dan TVET disasarkan juga kepada anak-anak di desa atau luar bandar.

“Disediakan juga pembiayaan tambahan bagi meningkatkan pembangunan kemahiran khususnya bagi bidang kemahiran bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Tambah beliau, cadangan itu seiring dengan keperluan negara yang mahukan lebih banyak tenaga kerja mahir di samping memenuhi keperluan pekerjaan pada masa depan.

Dalam pada itu, beliau dalam sidang media kemudiannya memaklumkan Majlis TVET negara menyambut baik peruntukan tambahan RM200 juta yang diluluskan kerajaan hari ini.

Peruntukan tersebut akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selain Majlis TVET Negara bertanggungjawab menentukan bidang keutamaannya.

Menurutnya lagi, pembiayaan itu ditumpukan kepada beberapa bidang tertentu termasuklah kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber serta Kecerdasan Buatan (AI).

Show More

Related Articles

Back to top button