KPM sudah serahkan draf cadangan wajibkan pendidikan menengah ke Pejabat Peguam Negara
KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini diberitahu, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara bagi mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, draf tersebut merupakan komitmen kementerian dalam memastikan tiada anak tercicir pendidikan, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.
“Ketika ini, berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996, hanya setakat Tahun 6 saja. Tetapi (menerusi) komitmen KPM, kita panjangkan dan sebar luaskan (perkara ini),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen, hari ini.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator R Nelson yang ingin tahu bilakah KPM akan mewajibkan pelajaran di peringkat sekolah menengah dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir selepas tamat sekolah rendah.
Untuk rekod, Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Fadhlina berkata, ketika ini, KPM mengambil pendekatan menangani perkara itu dengan mengadakan program Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.
Beliau berkata, pelaksanaan program K9 adalah bagi memastikan tiada anak tidak tercicir Tahun 1 hingga Tingkatan 3, manakala K11 akan memastikan mereka terus berada di sekolah mulai Tahun 1 hingga Tingkatan 5.