Warga Nepal raih pendapatan lebih RM26,000 sebulan
KUALA LUMPUR – Di sebalik kisah-kisah perit rakyat negara ini berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, kadang-kala kita dikejutkan dengan cerita warga asing yang mendapat pendapatan lumayan di negara ini.
Kisah seperti warga Indonesia mampu bina mahligai dan rakyat Pakistan pulang bina kilang selepas beberapa tahun bekerja di negara ini bukan perkara baru.
Baru-baru ini, warga Facebook sekali lagi dikejutkan dengan kisah kejayaan warga Nepal yang meraih pendapatan RM26,000 sebulan malah mampu membeli kereta sendiri secara tunai.
Melalui satu hantaran Facebook oleh Izzat Ismail IRealty, beliau berkongsikan kisah kejayaan kenalannya bernama Suren yang mengusahakan restoran selepas dua tahun bergelar buruh kilang.
Menurut cerita Izzat, Suren merupakan seorang yang rajin dan sentiasa pandai mencari peluang untuk menambah pendapatan walaupun baru berusia 25 tahun.
Katanya, Suren yang tidak berpuas hati dengan gaji bulanan yang diterima dari kilang, dia melihat potensi lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan.
Tanpa rasa malu dan takut, dia kemudian memulakan perniagaan makanan Nepal selepas melihat begitu ramai pekerja dari negara ini di Malaysia.
Namun kejayaan pastinya tidak datang dengan mudah, selepas penat memerahkan otak untuk meningkatkan jualan, dia akhirnya menemui formula sendiri.
Ia bukanlah sesuatu yang terlalu rumit atau hebat tetapi mungkin tidak pernah difikirkan orang lain sebelum ini, iaitu pakej makan secara bulanan.
Suren memperkenalkan pakej bulanan pada harga RM220 bagi setiap pelanggan warga Nepal untuk hidangan dua kali sehari di restorannya.
Melalui cara itu, dia memperoleh ramai pelanggan yang mahu berjimat kerana jika dihitung, hidangan setiap hari yang ditawarkan Suren hanya berharga RM7.30.
Harga itu jauh lebih murah berbanding pelanggan yang datang secara walk-in dan membayar harga sekitar RM11 setiap hidangan.
“Suren kata sekarang dia sudah ada lebih kurang 120 orang pelanggan tetap. Bayangkan 120 kali RM220 sudah RM26,400.
“Itu belum dikira pelanggan yang datang secara walk in. Patutlah dia boleh beli kereta Proton Waja cash, walaupun hanya RM8,000,” katanya.
Menurut Izzat, perniagaan Suren yang semakin maju membolehkan dia menggajikan 6 orang pekerja termasuk juruwang, penyelia restoran, pekerja bahan mentah dan cef.
Tambah Izzat, walaupun menguruskan restoran memerlukan komitmen masa dan perhatian yang terlalu tinggi, beliau berpuas hati kerana melihat imbuhan yang setimpal.
“Dia kata hei kawan krija dengan worang (makan gaji) hujung bulan ngam-ngam bilanja duit habis. Meniaga buleh untung lagi banyak, itu pun kalau mahu betul-betul krija,” katanya.