Berita Semasa

Kanta lekap haram diimport dari Korea bernilai RM700,000 dirampas

CYBERJAYA – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) berjaya merampas kanta lekap haram bernilai RM700,000 daripada sebuah premis di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada 20 Mei lalu.

Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua berkata, rampasan tersebut dijalankan susulan daripada aduan dan siasatan yang menemukan kanta lekap tidak berdaftar serta tidak mempunyai lesen penjualan yang sah.

“Syarikat ini telah beroperasi lebih daripada tiga tahun dan mempunyai banyak cawangan serta ejen di seluruh negara.

“Serbuan ini adalah yang kedua kali terhadap syarikat yang sama,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, syarikat terbabit masih menjual kanta lekap tidak berdaftar setelah diserbu pada pertama kali yang menyebabkan lesen perniagaannya ditarik.

“Serbuan pertama dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) pada November tahun lalu, yang mengakibatkan pembatalan lesen namun, syarikat itu terus melakukan kegiatan yang sama,” katanya.

Katanya, rampasan itu melibatkan sejumlah 101,186 unit kanta lekap tanpa label, 42,098 unit kanta lekap pelbagai jenama dan 276 keping pelekat label berjenama serta 25 dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan.

“Siasatan mendapati kanta lekap tersebut dibawa masuk secara haram dari Korea Selatan dan dijual secara fizikal serta dalam talian dengan harga antara RM9 hingga RM10 sepasang,” katanya.

Katanya, syarikat terbabit telah disyaki melanggar Akta Peranti Perubatan (Akta 737) di bawah Seksyen 25.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM200,000 atau penjara selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Dr. Muralitharan menegaskan kepada semua pihak agar tidak melakukan sebarang bentuk perniagaan peranti perubatan yang tidak berdaftar atau tanpa lesen.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan keselamatan pengguna serta orang awam,” tegasnya.

Dalam pada itu, pengguna kanta lekap dinasihatkan agar berhati-hati ketika membeli kanta lekap dan tidak menyokong aktiviti penjualan kanta lekap tidak berdaftar.

“Kanta lekap yang tidak berdaftar tidak disahkan dari segi keselamatan dan prestasi boleh menjejaskan kesihatan serta keselamatan mata pengguna,” katanya.

Kanta lekap tidak berdaftar yang dirampas MDA.

Beliau menggesa agar orang awam disarankan untuk membuat semakan sebelum membeli kanta lekap melalui Sistem MDAR di portal rasmi MDA.

Sekiranya mempunyai maklumat berhubung dengan aktiviti penjualan kanta lekap atau sebarang peranti perubatan yang tidak berdaftar, boleh melaporkannya kepada MDA melalui saluran sistem aduan dan maklum balas MDA di https://femes.mda.gov.my/.

Show More

Related Articles

Back to top button