Uncategorized

Timbalan Menteri Agama gesa keberkesanan sistem zakat hapuskan kemiskinan tegar

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menggesa agar zakat menjadi wahana untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara.

Beliau berkata, bagi mencapai tujuan tersebut beliau menekankan enam rukun utama Madani dalam memastikan keberkesanan sistem zakat di Malaysia.

“Rukun pertama adalah kemampanan yang dicapai melalui usaha kutipan dan agihan zakat memberikan kesan jangka panjang kepada penerima, dengan program seperti latihan keusahawanan dan bantuan modal.

“Program-program ini membolehkan penerima zakat berdikari dan menyumbang kembali kepada ekonomi umat Islam, memastikan mereka keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya dalam Majlis Penutup Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10 di Hotel Everly hari ini.

Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menganjurkan Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10 dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Uthm) di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.

Katanya, rukun kedua adalah kesejahteraan yang berperanan dalam meningkatkan kesejahteraan material, rohani dan mental penerima.

“Bantuan kewangan yang disalurkan turut disertai dengan sokongan moral dan spiritual melalui program pendidikan agama dan kaunseling,” katanya.

Ujarnya, rukun daya cipta adalah perlu bagi pendekatan inovatif dengan menggunakan teknologi seperti platform digital dan big data untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses agihan zakat.

“Rukun keempat adalah Hormat, dengan memastikan proses kutipan dan agihan dilakukan secara profesional dan beretika.

“Pendekatan ini bukan sahaja membina keyakinan dalam kalangan penerima zakat, tetapi juga menggalakkan lebih ramai umat Islam untuk menunaikan kewajipan zakat mereka,” tambahnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan merasmikan Majlis Muzakarah Zakat Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, rukun keyakinan adalah asas keberkesanan sistem zakat.

“Ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan zakat penting, dengan laporan tahunan dan audit terperinci disediakan untuk memastikan setiap sen dibelanjakan dengan betul,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, rukun kelima adalah ihsan iaitu bantuan zakat diberikan dengan niat yang tulus supaya membawa rahmat dan kasih sayang kepada penerima.

Show More

Related Articles

Back to top button