Berita SemasaPM X

PM mahu kemiskinan tegar di Sabah dinoktahkan sebelum akhir Julai ini

PENAMPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kemiskinan tegar di Sabah dinoktahkan sebelum akhir Julai tahun ini.

Beliau berkata, sasaran itu diyakini akan dapat dicapai berikutan bilangan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar di negeri itu menurun daripada 20,000 kepada 9,000, setakat ini.

“Kemiskinan tegar ini maknanya uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum atau susu untuk bayi mungkin ada masalah (untuk membeli), sebab itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Kita mahu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai 2024. Ini keutamaan kita, kita boleh bincang pelbagai hal tetapi kalau anak-anak kita, keluarga kita tidak cukup makan, itu tanggungjawab yang kita (perlu) selesaikan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Kata Anwar, isu kemiskinan tegar di Sabah adalah lebih serius berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor, justeru kerjasama bersepadu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diterus diperkukuh ke arah menyelesaikan masalah tersebut.

Tambahnya, rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang turut dihadiri menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan adalah satu tradisi baik selain memperlihat hubungan erat antara kedua-duanya.

“Dengan rundingan itu, ada yang kita ubah suai, ada cadangan-cadangan baharu yang kita rasa tidak utama, tetapi kita beri perhatian,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button