Budi Madani: Pengusaha sektor pertanian perlu daftar Sistem GeoAgro
PUTRAJAYA – Petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan perlu berdaftar terlebih dahulu melalui Sistem GeoAgro untuk layak mendapatkan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 di bawah inisiatif Budi Agri-Komoditi.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), mereka yang layak boleh berbuat demikian menerusi pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my dan membuat permohonan di Portal Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my.
“Pada masa yang sama, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.
“Bagi nelayan, kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C tertakluk kepada kuota yang ditetapkan manakala bagi pesawah, kerajaan telah menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mereka yang memohon inisiatif itu perlu memenuhi syarat sebagai warganegara Malaysia atau pertubuhan berdaftar di Malaysia; individu atau pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro; individu atau pertubuhan perlu membuat permohonan dengan Kementerian Kewangan melalui Portal Budi Madani termasuk membuat pengesahan pendapatan.
Selain itu, julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian dari RM50,000 hingga RM300,000 dan individu atau pertubuhan yang mengusahakan tanaman, ternakan, akuakultur dan menghasilkan pengeluaran secara berterusan.
Sementara itu katanya, sebagai tambahan, kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim dan
memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.
“Menerusi kenaikan kadar ini, pesawah terlibat akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.
“Selain daripada bantuan tunai kepada pengusaha sektor pertanian, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu syarikat sektor pertanian dengan pemberian fleet card diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 seperti lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan.
“Permohonan perlu dibuat melalui Sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” katanya.