Projek sawah padi di Kebun Bandar@Cyberjaya akan diperluas
CYBERJAYA – Kawasan penanaman padi yang diusahakan di Kebun Bandar@Cyberjaya di sini bakal diperluaskan tahun depan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, pihaknya berhasrat menjadikan petak sawah padi tersebut sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong.
“Kawasan ini telah diwartakan sebagai kawasan hijau. Jadi ada kira-kira 0.2 hektar lagi kawasan yang dilihat sesuai untuk projek penanaman padi ini.
“Insya-Allah, kita akan perluaskan lagi kawasan tanaman padi bermula tahun depan,” kata Abd. Hamid ketika ditemui media pada program Santai Tuai Padi 3.0 di sini hari ini.
Tambah Abd. Hamid, Kebun Bandar @Cyberjaya itu juga akan dibuka kepada orang ramai untuk bergambar dan mengenali dengan lebih dekat tumbuhan yang menjadi makanan asas rakyat Malaysia itu.
“Buat masa ini, kita telah mengambil inisiatif mewujudkan tujuh petak sawah merangkumi kawasan seluas 450 meter persegi. Di peringkat awal, kita gunakan tanaman padi jenis MR297 Siraj yang sesuai ditanam di kawasan ini.
“Sawah padi ini bertujuan untuk memberi pendidikan dan pengajaran khususnya buat masyarakat setempat.
“Saya kira dalam kalangan kita pun ada yang tak pernah turun ke sawah. Tak pernah pergi ke sawah. Jadi sawah ini ada di dalam bandar.
“Maka ia terbuka kepada semua untuk melihat dan mengambil gambar selain menghayati inilah beras yang dimakan rakyat Malaysia,” ujar beliau lagi.
Memasuki tahun kedua projek tersebut, MPSepang telah berjaya menuai hasilnya setiap empat bulan sekali.
Katanya, setiap kali tuaian, kira-kira 50 kilogram padi dapat dituai dan dimesin dengan hasil beras berjumlah kira-kira separuh daripada jumlah padi.
Projek tanaman padi di Kebun Bandar@Cyberjaya itu dimulakan pada 24 Oktober 2023. Selain sawah padi, terdapat lebih 400 batang pokok buah-buahan ditanam di kawasan tersebut.
Antaranya seperti pokok durian, rambutan, mangga, gajus, sentul dan banyak lagi.