Berita Semasa

Anwar puji pendirian PM Norway, Ireland, Sepanyol

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pendirian kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol yang mengiktiraf hak-hak kemanusiaan dan keadilan untuk rakyat Palestin.

Anwar berkata, pendirian yang dinyatakan oleh rakan-rakan sejawat beliau dari tiga negara berkenaan semalam adalah simbol kepada prinsip kedaulatan, maruah demi masa depan mereka.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol tatkala memilih untuk berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Anwar turut menyeru negara-negara di dunia supaya memahami dan memperakui perjuangan demi keadilan jutaan rakyat Palestin.

“Kepada negara-negara yang lain yang belum berbuat demikian, fahami fakta ini bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin dan usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi.

“Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin,” katanya.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button