Berita Semasa

Kerajaan tawar 10 vaksin percuma sejak 60 tahun lalu

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengadakan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 sempena Minggu Imunisasi Sedunia lazimnya disambut pada 24-30 April setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, objektif sambutan itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang imunisasi sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berkesan.

“Ia juga bertujuan mempromosi penggunaan vaksin sebagai perisai untuk melindungi masyarakat, bukan sahaja bayi dan kanak-kanak, bahkan pelbagai lapisan umur bagi mencegah penyakit cegahan vaksin.

“Kempen ini juga penting untuk mengukuhkan
keyakinan masyarakat agar menerima vaksin, serta menggalakkan penglibatan agensi bukan kerajaan menyokong inisiatif kerajaan,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Dzulkefly turut merasmikan sambutan Minggu Imunisasi dengan tema ‘Imunisasi Menyelamatkan Generasi’ (Saving Lives Through lmmunization).

Dzulkefly menyatakan bahawa kejayaan negara dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) telah bermula sejak tahun 1950-an lagi bagi membendung penularan penyakit cegahan vaksin dan mengurangkan morbiditi, mortaliti khususnya bagi kanak-kanak bawah lima tahun.

“Sejak lebih 60 tahun program imunisasi dimulakan di Malaysia, kini terdapat 10 jenis produk vaksin digunakan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin untuk bayi dan kanak-kanak dalam NIP.

“Penyakit-penyakit cegahan vaksin seperti Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus, Batuk kokol(Pertusis), Polio, jangkitan akibat Haemophilus influenzae B, Campak, Beguk, Rubella,Ensefalitis Jepun (Japanese Encephalitis, JE), penyakit Pneumokokal invasif dan kanser yang disebabkan oleh jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) mampu dicegah melalui NIP ini,” tambahnya lagi.

Dzulkefly turut memaklumkan kesemua vaksin itu disediakan secara percuma di fasiliti kesihatan KKM kepada semua kanak-kanak Malaysia sejak lahir sehingga mencapai berumur 15 tahun.

Di samping itu,vaksin-vaksin lain juga digunakan pada pelbagai peringkat umur seperti vaksin influenza untuk anggota kesihatan barisan hadapan, goIongan dewasa dan warga emas.

Dzulkefly turut berkata, KKM mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi pelbagai pihak, bukan sahaja dari agensi kerajaan tetapi juga dari badan professional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat dan setiap individu agar liputan imunisasi kekal tinggi di semua tempat, seterusnya menurunkan dan membasmi penyakit cegahan vaksin yang berpotensi membawa maut.

“KKM juga ingin mengingatkan masyarakat dan ibu bapa agar mendapatkan maklumat yang sahih dari anggota kesihatan atau saluran media sosial yang betul berkenaan vaksin dan imunisasi,” katanya lagi.

Program Perkembangan untuk Imunisasi (EPI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggalakkan semua negara memberi imunisasi terhadap 6 penyakit kanak-kanak, namun Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia telah menambah perlindungan untuk 13 penyakit majoriti kanak-kanak.

Show More

Related Articles

Back to top button