Kerja membaiki laluan bengkok punca kelewatan LRT
KUALA LUMPUR – Kelewatan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di sini berpunca akibat kerosakan struktur jejambat yang menyebabkan kelajuan tren terpaksa diperlahankan.
RapidKL dalam satu kenyataan berkata, masalah kelewatan ketibaan tren ketika ini disebabkan oleh kerja-kerja penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.
“Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.
“Atas faktor keselamatan, pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan.
“Perkhidmatan LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan ini akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan selama 9 minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan,” katanya.
Berikutan itu kata Rapid KL, tren-tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat, tren-ren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya manakala perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik diantara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.
Selain itu katanya, perkhidmatan bas alternatif telah diaktifkan bagi menampung penumpang-penumpang seperti di Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat, Stesen Plaza Rakyat ke Stesen, Stesen Sentul Timur ke Stesen dan Stesen Bandaraya ke Sentul Timur.
“Anggota Polis Bantuan juga telah dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan,” katanya yang turut memohon maaf atas kesulitan pengguna perkhidmatan itu.