Berita Semasa

Failkan petisyen jika tak puas hati keputusan PRU15 – Fadillah

PUTRAJAYA – Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepatutnya memfailkan petisyen bantahan di mahkamah dan bukannya ‘hanya bercakap’.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara mempunyai lunas undang-undang dan ketidakpuasan hati itu boleh disuarakan menerusi saluran perlembagaan.

“Kalau sekadar cakap, saya kira ramai boleh cakap, tapi bawa ke mahkamah, itu merupakan tempat yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan dan segala peraturan.

“Jadi bawalah siapa tak puas hati dan buktikan PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), di sini hari ini.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila mendakwa hampir semua calon PRU15 yang menang didakwa menawarkan rasuah.

Dr Mahathir mendakwa, parti calon terbabit telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk berkempen, dan rasuah diberikan secara terbuka.

Beliau turut mendakwa, PRU15 adalah pilihan raya yang paling korup daripada semua pilihan raya yang diadakan di Malaysia.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, kerajaan mempunyai banyak agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara berkaitan rasuah.

Show More

Related Articles

Back to top button