Berita Semasa

Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan dilancar 1 Mei ini – Steven Sim

PUTRAJAYA – Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan akan dilancarkan sewaktu sambutan Hari Pekerja 2024 pada 1 Mei ini, kata kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Menurut Steven Sim, kerangka tersebut akan dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada bulan depan.

Jelas beliau, kerangka itu bakal menjadi garis panduan dasar kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan kerajaan secara amnya untuk melaksanakan program-program pembangunan modal insan Malaysia.

“KESUMA perkenal Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang julung kali. Ini akan lihat kepada kelompangan dan kesenjangan yang wujud dalam dokumen dasar masa kini.

“Sebagai contohnya tentang agenda masyarakat menua, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan penglibatan wanita sektor pekerjaan, kita lihat semua ini untuk rangka satu garis panduan dan strategi untuk memandu dasar dan program KESUMA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra-pelancaran Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, pada tahun ini KESUMA juga memperkenalkan dua kategori Anugerah Hari Pekerja yang baharu iaitu Anugerah Media bagi Individu dan Anugerah Tokoh Pekerja Sektor Awam.
 
“Hadiah tunai untuk anugerah Hari Pekerja akan diselaraskan, jadi tidak kira kategori pasukan mahupun individu, semua akan dapat RM10,000 tidak macam sebelum ini, hadiah untuk kategori individu berjumlah RM5,000).

“Jumlah hadiah tunai untuk Anugerah Hari Pekerja juga dinaikkan daripada RM75,000 tahun lalu kepada RM120,000 tahun ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button