Saya tidak ada masalah dengan Sanusi – Saifuddin
PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Saifuddin berkata, selaku pengerusi bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN), beliau juga faham Sanusi mempunyai tanggungjawab yang lebih besar sebagai menteri besar Kedah.
“Saya faham Sanusi ada tanggungjawab berat di Kedah. Biar kita buat dalam urusan kerja masing-masing dulu, jika ada keperluan ke hadapan kita tengoklah, tidak ada gaduh-gaduh.
“Saya tiada masalah dengan dia (Sanusi), jumpa di Parlimen, bersalaman elok, sembang elok, tidak ada masalah, cuma di peringkat jawatankuasa pembangunan negeri, saya mewakili persekutuan…dia sebagai menteri besar, pengerusi bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media 2024 di sini malam tadi.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyifatkan alasan Saifuddin Nasution tidak mengadakan mesyuarat kerana bimbang kebocoran maklumat rahsia sebagai mengada-ngada.
Sanusi juga kesal dengan tindakan Saifuddin yang tidak memanggil mesyuarat lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah.