PKR hanya akan terima individu tanpa agenda tersembunyi – Fahmi
CYBERJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan hanya menerima individu yang tidak mempunyai ‘agenda tersembunyi’ sebagai ahli, bagi memastikan perjuangan parti selari dengan agenda yang telah ditetapkan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan beberapa ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysua (Bersatu) menyertai PKR pada masa hadapan.
“Mereka akan disambut dengan tangan terbuka, tetapi (permohonan) mereka masih perlu melalui penelitian.
“Kami mempunyai mekanisme untuk membincangkan, (kemasukan ahli Bersatu) dan dengan mekanisme ini, kami akan memastikan kami tidak mempunyai ‘trojan horse’ (musuh dalam selimut) atau orang yang akan menyebabkan masalah kepada kami.
“Sebelum ini, kami ada pemohon yang kami tangguhkan kemasukan mereka (ke dalam parti) selepas melalui proses ini. Jadi, kami ada sistem sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran E-Farmasi: Penyelesaian Digital untuk Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Seterusnya di Universiti Mutimedia, di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini yang memetik bekas ahli majlis tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman sebagai berkata, beliau membayangkan lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkahnya menyertai PKR pada Isnin lepas.
Dakwanya, perkara itu akan berlaku dengan lebih ketara menjelang pemilihan Bersatu yang dijangka berlangsung tahun ini.
Beliau turut yakin penghijrahan itu akan bermula dari Selangor, melibatkan ahli yang berjawatan atau mereka yang mengasaskan penubuhan Bersatu di semua peringkat di negeri itu.
Tambahnya, ini akhirnya akan membawa kepada gelombang besar perbezaan pendapat di semua peringkat parti, terhadap Bersatu.