Kebakaran masjid, surau di Pekan Sri Medan perbuatan khianat
BATU PAHAT – Polis percaya kebakaran Masjid Kampung Parit Simis kelmarin dan Surau Ar-Raudah di kawasan Pekan Sri Medan di sini yang berlaku dalam masa kurang 24 jam mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menyiasat kedua-dua kejadian itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat menggunakan api selepas melihat kejadian yang hampir serupa berulang.
Dalam kebakaran Surau Ar-Raudah di Parit bangas malam tadi, kebakaran yang bermula pada pukul 10 malam memusnahkan pelbagai kelengkapan termasuk permaidani, perabot, pendingin hawa dan pendawaian elektrik.
“Kejadian disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui lokasi terbabit. Kebakaran itu berjaya dipadamkan 15 minit kemudian dengan bantuan penduduk berhampiran.
“Ini adalah kebakaran kedua berturut-turut membabitkan masjid dan surau di Sri Medan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada pukul 10.46 malam Ahad lalu, Masjid Kampung Parit Simis dilaporkan terbakar dengan kerosakan dianggar melebihi RM150,000.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Polis Sri Medan menerusi talian 07-4850222.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan kejadian surau terbakar itu pada jam 11.38 malam Isnin.
Menurutnya, seramai 18 anggota dari BBP Yong Peng dan BBP Penggaram dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.