Berita Semasa

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut bertembung di Jalan Kangkar Baru Paloh

BATU PAHAT – Seorang daripada tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.15 pagi ketika mangsa bersama beberapa rakan konvoi sedang dalam perjalanan dari Segamat menuju ke Kluang.

“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 64 tahun bertembung dengan kereta dari arah bertentangan sebelum dilanggar motosikal rakannya yang berada di belakang, menyebabkan motosikalnya terbabas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, motosikal ketiga dalam konvoi tersebut turut terbabas selepas terlanggar serpihan akibat perlanggaran sebelumnya.

Shahrulanuar berkata, mangsa pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher dan organ dalaman.

“Mangsa berasal dari Pasir Gudang. Selain itu, penunggang motosikal kedua, seorang lelaki berusia 58 tahun dan isterinya 56, turut mengalami kecederaan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, penunggang motosikal ketiga, lelaki berusia 29 tahun dan pemandu kereta terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. Boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di 07-4343999,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button