Berita Semasa

Disebabkan kemelut kewangan, Putrajaya Cyborg tarik diri Kejohanan Piala Emas Khir Johari

PUTRAJAYA – Pasukan Sepak Takraw Putrajaya Cyborg yang berpangkalan di sini terpaksa mengambil keputusan drastik dengan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Piala Emas Khir Johari pada edisi kali ini.

Perkara itu disahkan menerusi satu hantaran dalam laman Facebook rasmi Putrajaya Cyborg hari ini.

Menurut jurucakap pasukan itu yang enggan dikenali memaklumkan pasukan itu tidak mendapat sumber kewangan yang mencukupi dari Persatuan Sepaktakraw Putrajaya (PESTAP).

“Kegagalan Persatuan Sepaktakraw Putrajaya untuk mendapatkan dana untuk membawa pasukan bukanlah satu masalah baru.

“Presiden PESTAP, Datuk Khairudin Samad, telah gagal untuk mendapatkan dana dan tajaan daripada mana-mana pihak, perkara ini amat mengecewakan peminat sepak takraw Putrajaya,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut sumber itu lagi, kekangan kewangan di samping faktor politik dan kegagalan pemimpin utama itu menguruskan persatuan tersebut juga telah menyebabkan Putrajaya Cyborg turut sama terheret dalam masalah.

Sementara itu, penggiat sukan sepak takraw Putrajaya, Mustafa Yass, meluahkan perasaan kecewa terhadap kemelut yang melanda pasukan itu.

Mustafa juga berharap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dapat campur tangan.

“Kami kecewa dan marah terhadap pengurusan persatuan yang dianggap sambil lewa tentang pengurusan pasukan Putrajaya Cyborg, harus ada perubahan dalam pengurusan persatuan mungkin melantik seorang presiden yang baru sebagai langkah penyelesaian.

“Permasalahan pengurusan Persatuan Sepaktakraw Putrajaya bukanlah baru, kami peminat mohon Kementerian Belia dan Sukan dan PSM masuk campur dan bantu pasukan Putrajaya untuk kali ini.

“Kami juga memohon supaya Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan membantu pasukan Putrajaya untuk ke Piala Emas Khir Johari demi eminat dan pemain sepak takraw Putrajaya” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button