KPDN umum senarai barangan SHMMP sempena Krismas
CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan senarai harga barangan yang dikawal di bawah dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Krismas pada 25 Disember ini.
Kata KPDN, skim harga ini berkuat kuasa selama lima hari mulai 23 hingga 27 Disember depan.
“Peniaga diingatkan supaya tidak menjual barangan yang tersenarai melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
“Pada masa yang sama, peniaga diingatkan supaya meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal,” kata KPDN dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara barangan yang tersenarai termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import (tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, ubi kentang china, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan cili merah.
Turut tersenarai, ayam tua hidup (Sarawak sahaja), kepak ayam, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) bagi Sabah, Sarawak dan WP Labuan, dan babi hidup di peringkat ladang di negeri yang sama.