
GTA, YLTAT, UniKL meterai kerjasama tingkat kebolehpasaran anak dan veteran ATM
KUALA LUMPUR – Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA), Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menandatangani surat hasrat untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Kerjasama itu yang akan bermula Jun ini sehingga Mei 2026 dibuat semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Surat ini ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi; Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Madya Ir. Dr. Azman Senin dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya dalam satu kenyataan bersama, kolaborasi inovatif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jejak Bakat Anak Tentera (JEBAT) YLTAT bersama GTA dan UniKL untuk mendukung usaha kerajaan khususnya Menteri Pertahanan.
“Ia bagi memantapkan kelestarian Pendidikan dan Latihan Kemahiran dalam pelbagai bidang seperti sains, sastera, perniagaan, kejuruteraan dan lain-lain secara holistik.
“Di samping meningkatkan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran ATM dengan menyediakan latihan industri serta laluan bagi penempatan pekerjaan yang kompetitif,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kesemua pihak juga bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop termasuk menjalani latihan industri dan penempatan di bawah program
Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak warga
dan veteran ATM.
Pada masa sama, GTA akan menaja elaun bulanan seramai 60 ke 80 orang anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih sepanjang tempoh mereka berada di bawah program Protége kendalian syarikat Kumpulan Global.
“GTA juga akan menaja sebahagian elaun bulanan anak-anak warga dan veteran ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran di UniKL melalui usahasama trilateral ini.
“GTA dan UniKL juga akan merangka dan menyelaras Program Industrial Placement and Training bagi anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih dan UniKL akan menawarkan Program Asasi melalui UniKL Top Achievers Foundation Scholarship (UTAFS) di mana pengecualian yuran akan diberikan kepada anak-anak warga dan veteran ATM yang layak sebagai program perintis bagi tahun 2024 dan kemasukan adalah pada bulan Julai dan September.
Selain itu, UniKL juga akan menawarkan peluang pendidikan peringkat diploma,
sarjana muda, sijil profesional dan sebagainya kepada anak-anak warga dan
veteran ATM serta membantu permohonan pinjaman pendidikan atau biasiswa.
Sementara itu, YLTAT juga akan menyediakan calon yang merupakan anak-anak warga dan veteran ATM termasuk pelajar aliran tahfiz secara eksklusif untuk menyambung pengajian di UniKL dan penempatan latihan industri serta penempatan di bawah Protégé di GTA.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |